Pendaftaran kontraktor G1 (Bumiputera) dibuka semula 1 September
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu bersetuju pendaftaran Kontraktor G1 (Bumiputera) dibuka semula pada 1 September ini.
Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan bersama hari ini, berkata ia akan memberi peluang kepada kontraktor baharu Bumiputera terutama generasi muda berkelayakan teknikal terbabit lebih aktif dalam industri pembinaan khususnya mengendalikan projek kerajaan.
“Kerajaan berharap usaha ini dapat melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera berdaya saing dan berdaya tahan serta memainkan peranan utama dalam industri pembinaan negara,” katanya.
Katanya, kerajaan menyedari keperluan mengkaji semula pendaftaran Kontraktor G1 selepas 14 tahun pendaftarannya dibekukan.
“Berdasarkan statistik terkini, jumlah Kontraktor G1 berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) adalah 21,495 syarikat dan daripada jumlah itu, 70 peratus adalah Kontraktor G1 yang mempunyai rekod pendaftaran melebihi 20 tahun.
“Keadaan ini tidak memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera baharu untuk menyertai perolehan kerajaan, manakala baki 30 peratus lagi adalah kontraktor G1 yang mempunyai rekod pendaftaran antara tiga hingga 20 tahun mengikut bidang pengkhususan masing-masing,” katanya.
Berasaskan iltizam kerajaan mencapai nilai faedah terbaik kepada kerajaan dan rakyat, satu platform keusahawanan dalam industri pembinaan perlu diperkukuhkan.
“Ia juga menjadi wadah untuk melatih kontraktor Bumiputera bagi meningkatkan lagi kapasiti dan kemampuan mereka ke gred lebih tinggi.
“Menyedari hakikat ini, kerajaan berpandangan adalah wajar pendaftaran kontraktor Bumiputera dibuka semula kepada rakyat khususnya golongan belia Bumiputera berkelayakan,” katanya.
Selain itu, Jemaah Menteri juga bersetuju supaya had nilai penawaran kerja kerajaan ditawarkan kepada kontraktor G1 wajar dikaji semula.
“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta agensi lain berkaitan akan memperhalusi had nilai ini dengan mengambil kira kesan kenaikan kos dalam pelaksanaan projek semasa kerajaan.
“Kajian ini bagi memastikan keutamaan dan pengukuhan penyertaan Bumiputera dalam perolehan kerajaan dari segi nilai perolehan kontrak serta dapat merapatkan jurang pendapatan antara kaum tanpa menjejaskan ekosistem industri pembinaan negara selaras prinsip Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya.