News – By administrator on Tuesday, August 23, 2011 – 10:09

PUTRAJAYA 22 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan dua inisiatif bagi membolehkan para graduan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memainkan peranan utama sebagai pemacu dan penggerak transformasi negara.

Perdana Menteri berkata, program Akselerasi Bakat Di Dalam Perkhidmatan Awam (TAPS) dan Penarikan dan Pengekalan Bakat (STAR) itu akan memberi peluang kepada graduan terbabit untuk membangunkan kerjaya mereka dalam bidang di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Saya percaya bahawa rakyat Malaysia yang telah diberikan keistimewaan dan peluang untuk mendapatkan pendidikan terbaik mempunyai tanggungjawab bersama untuk memanfaatkan ilmu yang diperoleh bagi faedah orang lain.

NAJIB Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan Mohd. Sidek Hassan beramah mesra dengan sebahagian daripada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/HANAFI KHAMIS

“Untuk itu, mereka diharap akan berusaha bersama-sama untuk menukar aspirasi negara kepada realiti, ini merupakan masa untuk menyumbang kepada negara tercinta kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Graduan Tajaan JPA sempena Pelancaran TAPS dan STAR di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Seramai 100 pelajar tajaan JPA yang telah tamat pengajian di beberapa universiti terkemuka di dunia hadir pada majlis itu.

Perdana Menteri berkata, di bawah program TAPS itu, graduan yang terbaik akan dipilih untuk berkhidmat secara kontrak selama dua tahun dalam beberapa projek dan isu polisi awam utama sebelum diputuskan untuk diserap dalam sektor awam.

”Kumpulan perintis pertama program TAPS yang merupakan inisiatif kerjasama antara JPA bersama Razak School of Goverment dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu akan membabitkan 40 graduan terbaik dan akan bermula pada bulan Oktober ini.

“Selepas itu, program terbabit akan diperluaskan secara berperingkat di kalangan graduan tajaan JPA dari institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain di Malaysia dan luar negara,” katanya.

Bagi graduan tajaan JPA yang tidak dipilih menyertai perkhidmatan awam itu, Najib berkata, mereka akan menyertai program STAR yang dibangunkan untuk membolehkan mereka berkhidmat dalam organisasi utama yang terlibat menjayakan ETP.

Menurutnya, lebih 50 organisasi termasuk Bank Negara Malaysia, Khazanah Nasional, Intel, Shell Malaysia, Maxis, PricewaterhouseCoopers, Bank CIMB dan Teach for Malaysia telah menyertai program tersebut.

“Melalui inisiatif ini, para graduan akan diberi peluang untuk membina kerjaya mereka dalam sektor-sektor utama ekonomi dan pada masa yang sama terlibat dalam transformasi ekonomi negara.

“Sekumpulan graduan telah menyertai inisiatif perintis untuk program STAR pada awal tahun ini, mereka kini berkhidmat dalam pelbagai organisasi yang terlibat dalam sektor-sektor utama ETP,” katanya.


By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *