MELAKA 30 Mei – Pindaan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan, bakal mewajibkan kira-kira 800,000 pekerja tempatan dan asing bukan profesional sektor pembinaan berdaftar dengan CIDB.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, antara faedah yang akan diperoleh melalui pindaan akta tersebut yang diwujudkan pada 1994 ialah pekerja tersebut akan dilindungi insurans yang melayakkan mereka mendapat pampasan jika berlaku kemalangan.
Kesemua pekerja terbabit akan diwajibkan terlebih dahulu menjalani kursus seperti keselamatan di tapak pembinaan, sebelum diberikan kad pendaftaran yang dikeluarkan CIDB, katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerja Raya di sini, hari ini. – Bernama