News – By administrator on Friday, February 25, 2011 – 04:02
KUALA LUMPUR 23 Feb. – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak berpuas hati dengan laporan yang dikeluarkan Bank Dunia mengenai proses pendaftaran syarikat di negara ini pada tahun lalu.
Laporan yang dikeluarkan bank berkenaan tidak menggambarkan situasi sebenar di Malaysia dan telah menjejaskan penarafan status negara dalam perkhidmatan berkenaan.
Malaysia diletakkan pada kedudukan 116 dunia bagi perkhidmatan berkenaan, peningkatan tiga anak tangga berbanding tahun 2009 namun jika penelitian lebih telus dibuat sepatutnya negara berada pada kedudukan yang lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin berkata, ada beberapa perkara dalam laporan tersebut tidak tepat dan boleh menjejaskan imej negara.
Menurutnya, laporan berkenaan menyatakan bahawa proses pendaftaran syarikat di Malaysia mengambil masa selama 17 hari sedangkan perkhidmatan yang ditawarkan SSM sejak April tahun lalu sepantas sehari sahaja.
“Proses pendaftaran hanya memakan masa sehari dan ia boleh dilakukan melalui proses di kaunter kami dan dalam talian menerusi sistem Identiti Korporat Malaysia (MyCoID),’’ katanya kepada pemberita selepas Kempen Kesedaran SSM di sini hari ini.
Turut hadir sebagai ahli panel ialah wakil dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), SME Corp., Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Azmi berkata, Bank Dunia memperolehi data melalui tinjuan mereka ke atas pemilik syarikat di negara ini dan bukannya melalui SSM.
Katanya, kebanyakan setiausaha syarikat tidak menggunakan sistem terbaharu SSM yang hanya memakan masa sehari itu tetapi lebih gemar menggunakan cara lama iaitu datang secara berperingkat ke kaunter pendaftaran.
“Mereka tidak hadir dengan dokumen lengkap pada hari pertama sebaliknya akan hadir pada hari berikutnya untuk menghantar dokumen seterusnya dan ini yang menyebabkan proses menjadi lama.
“Apabila ditanya oleh wakil Bank Dunia, mereka akan memberi maklum balas negatif sedangkan mereka tidak mahu atau tidak tahu menggunakan sistem pantas yang disediakan SSM.
“Bermula April tahun lepas sehingga Januari lalu hanya 24 peratus iaitu 1,020 pendaftaran syarikat dibuat menggunakan sistem sehari dan selebihnya mengunakan cara lama,’’ jelasnya.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengambil berat perkara ini kerana ia melibatkan imej negara dan boleh mempengaruhi kemasukan pelabur asing.
Katanya, jika pihak yang berkaitan memberi kerjasama dan peka terhadap perkembangan sistem terbaharu SSM, maka mereka dapat membantu negara mencapai penarafan yang lebih baik pada masa depan.
Tambah beliau lagi, SSM juga telah melancarkan fasa kedua sistem MyCoID yang membolehkan semua maklumat yang didaftarkan melalui sistem tersebut akan disalurkan secara automatik kepada KWSP, SME Corp., LHDN, Perkeso dan HRDF.
“Hanya satu ID diperlukan untuk sebarang urusan dengan kelima-lima organisasi berkenaan dan ini dapat menjimatkan sama pelanggan,’’ ujarnya.
Sejak April tahun lalu, segala proses pencarian nama dan kelulusan, penyerahan dokumen pendaftaran, mematikan memorandum dan Artikel Syarikat (MA) dan pembelian barangan pra pensyarikatan boleh dibuat pada hari yang sama.
Hanya RM100 dikenakan untuk pendaftaran tersebut dan sijil pensyarikatan akan diberikan pada hari yang sama jika borang pendaftaran dihantar sebelum 12 pukul tengah hari.