News – By administrator on Wednesday, February 23, 2011 – 04:12

MALAYSIA dan Turki dijangka memuktamadkan Perjanjian Perniagaan Bebas (FTA) menjelang Mei depan, sekali gus mampu melonjakkan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara yang kini agak kecil, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, setakat ini empat pusingan rundingan FTA sudah diadakan antara kedua-dua negara dan dua lagi rundingan bakal diadakan pada Mac dan April ini, sebelum ia dijangka dimuktamadkan pada Mei 2011.

Beliau berkata, apabila FTA itu dimuktamadkan nanti, nilai dagangan antara Malaysia dan Turki kini AS$800 juta (RM2.43 bilion) setahun dijangka meningkatkan kepada AS$1 bilion (RM3.04 billion) pada 2012.

“Turki adalah antara negara paling maju di kalangan negara Islam dengan mencatatkan pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi yang tinggi, namun nilai dagangannya dengan Malaysia agak kecil iaitu kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan nilai dagangan kedua-dua negara.

“Justeru, dengan pelaksanaan FTA itu nanti, kita harap nilai dagangan antara Malaysia dan Turki akan lebih meningkat pada masa depan,” katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Turki, Zafer Caglayan, di Ankara semalam.

Beliau berada di sini kerana menyertai delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Turki, bermula semalam.

Mustapa berkata, dengan kemajuan pesat yang dinikmati Turki pada masa ini, Malaysia boleh menjadikan negara itu sebagai pintu masuk untuk produk Malaysia ke pasaran seperti Kesatuan Eropah, Asia Barat dan Afrika Barat.
Pada masa sama, katanya, Turki boleh menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk untuk produk mereka kepada pasaran Asia yang sedang pesat berkembang, khususnya Asean.

Beliau berkata, sektor swasta Malaysia juga boleh menjalin usaha sama dengan usahawan Turki yang agak terkenal dalam industri pembinaan, automotif dan pelancongan.

“Selama ini Turki ‘berkiblatkan’ Barat terutama Eropah dan menganggap Malaysia terlalu asing dan jauh daripada mereka. Justeru, lawatan Perdana Menteri diharapkan dapat mengubah tanggapan mereka (Turki) terhadap Malaysia, sekali gus meningkatkan hubungan dagang dan perniagaan dengan kita,” katanya.


Listen with webReader

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *