Soalan Lazim

Siapakah yang perlu berdaftar dengan CIDB?

Mereka yang terlibat dengan kerja pembinaan. Untuk itu maksud kerja pembinaan ialah `Pembinaan, penyambungan, pemasangan, pembaikan, penyenggaraan, pembaharuan, pemindahan, pengubahsuaian, pengubahan, perombakan atau perobohan ;-

  1. mana-mana bangunan, binaan, bangunan besar, struktur, tembok, pagar atau cerobong, samada dibina keseluruhannya atau sebahagiannya di atas atau di bawah paras bumi.
  2. Mana-mana jalan, kerja-kerja pelabuhan, landasan keretapi, laluan atau talian kabel, terusan atau padang terbang.
  3. Apa-apa kerja saliran, pengairan atau kawalan sungai
  4. Apa-apa kerja elektrik, mekanikal, air, gas, petrokimia atau telekomunikasi atau
  5. Mana-mana jambatan, jejambat, empangan, reservoir, kerja tanah, talian paip, pembentung, akueduk, pemacu, syaf, terowong atau kerja penebusgunaan.

Dan termasuk apa-apa kerja yang menjadi bahagian yang penting, atau adalah persediaan atau sementara bagi kerja-kerja yang diperihalkan dari perenggan a) hingga e) di atas termasuk pembersihan tapak, penyiasatan dan pembaikan tanah, pemindahan tanah, penggalian, meletakkan batu asas, pemulihan tapak dan kerja lanskap.

Apakah kriteria yang diperlukan untuk berdaftar dengan CIDB?

Ada beberapa keperluan pendaftaran yang perlu dikemukakan untuk berdaftar dengan CIDB:-

  1. Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
  2. Pengalaman
    • Pengalaman syarikat/firma atau pegawai teknikal utama dalam bidang pembinaan.
    • Kontrak utama/kontrak dinamakan dilaksanakan dengan bukti.
    • Subkontrak dilaksanakan dengan bukti.
  3. Keupayaan Kewangan
    • Keupayaan kewangan syarikat yang berdaftar dengan Pendaftar Syarikat (R.O.C) dinilai berdasarkan Modal Berbayar Syarikat.
    • Syarikat yang berdaftar dengan Pendaftar Perniagaan (R.O.B) samada Firma Milik Tunggal atau Perkongsian , keupayaan kewangan dinilai berdasarkan Modal Terkumpul yang perlu diperolehi samada dari salah satu atau semua yang berikut:
      • Salinan penyata bank akaun semasa bagi 3 bulan terkini.
      • Salinan baki terkini dari buku akaun simpanan.
      • Salinan penyata simpanan tetap yang masih dalam tempoh sah laku dan tidak dicagarkan.
      • Surat pengesahan dari bank berhubung dengan kemudahan overdraf, jika ada.
      • Saham ASB.
  4. Sumber Kakitangan
    • Kakitangan tempatan sepenuh masa bagi menjalankan kerja-kerja selaras dengan gred dan kategori pendaftaran (dengan kelayakan yang diiktiraf dan penyata KWSP yang berkaitan).